Khamis, 3 Ogos 2017 | 10:54pm
PRESIDEN Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor. - Foto Saifullizan Tamadi

PIFFA mahu pasar kru tempatan ke pentas antarabangsa

KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menukar penganjuran Festival Filem Krew Malaysia (#KrewFest 2017) seperti diuar-uarkan pada Mac lalu kepada Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa PROFIMA (PIFFA).

Presidennya, Khir Mohd Noor, berkata festival yang julung kali diadakan itu sejajar matlamat persatuan terbabit untuk memasarkan tenaga mahir belakang tabir industri perfileman tempatan ke pentas antarabangsa.

"Sudah 11 tahun kami menganjurkan Anugerah PROFIMA, jadi kali ini ia akan diadakan dalam skala lebih besar, dengan mengangkatnya sebagai festival pada peringkat Asia Pasifik.

"Dua malam penganugerahan berasingan akan diadakan pada festival itu nanti, iaitu Malam Anugerah PROFIMA 2017 (MAP 2017) pada 4 November untuk kru perfileman tempatan, dan kemuncaknya pada 5 November dengan penganjuran 1st Asia Pacific Supreme Awards 2017 atau Anugerah Tertinggi Asia Pasifik 2017, bagi mengiktiraf petugas perfileman pada peringkat Asia Pasifik," katanya pada sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Bukan sekadar dua malam penganugerahan berkenaan yang bakal menjadi perhatian, sebaliknya penganjuran PIFFA juga diharap dapat memberi peluang kepada tenaga mahir perfileman tempatan berkongsi idea dan ilmu dengan peserta luar negara.

Selain bengkel, seminar, pameran, tayangan filem tempatan dan luar negara, PIFFA tidak ketinggalan mengadakan pencarian bakat aksi lagak ngeri serta pertunjukan karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Semuanya diatur dengan matlamat menjadikan ia sebagai platform untuk kita memasarkan tenaga kerja tempatan, bersama pembabitan peserta dan tenaga profesional dari Asia Pasifik seperti Hong Kong, China, Singapura dan Korea.

"Selain itu, pada hari pertama festival, kami turut menganjurkan pertandingan filem pendek untuk penuntut institusi pengajian tinggi, manakala keesokannya dilangsungkan pula pertandingan filem pendek untuk kalangan peserta dari dalam dan luar negara," katanya.

Sebanyak 71 anugerah membabitkan sembilan kategori akan dipertandingkan pada MAP 2017. Anugerah Tertinggi Asia Pasifik 2017 pula akan mempertandingkan 20 anugerah membabitkan karya dari dalam dan luar negara.

PIFFA 2017 akan berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di sini, pada 4 hingga 6 November 2017.

Berita Harian X