Khamis, 3 Ogos 2017 | 2:03pm

Faiq cari ikan ajaib dalam WTFaiq

KUALA LUMPUR: Program bual bicara berkonsep unik dan fantasi, What The Faiq atau WTFaiq kembali dengan barisan artis dan personaliti popular sebagai tetamu jemputan.

Dikendalikan pelakon dan aktivis teater, Faiq Syazwan Kuhiri, program yang disiarkan melalui laman YouTube itu menawarkan 12 episod menarik sejak dipertontonkan pada 6 Jun lalu.

Antara artis dan personaliti yang menjayakan musim kedua WTFaiq adalah Datuk David Arumugam, Sharifah Amani, Namron, Radhi OAG dan Faiz Dickie.

Jika pada musim pertama, Faiq mencari si kijang emas, kali ini pengembaraannya membawa penonton menjejaki seekor ikan mistik diberi nama

'Belian Sungai'. Ikan itu dikatakan mampu menyelamatkan manusia yang lalai.

Dalam perjalanannya, Faiq bertemu sahabat baharu dan meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan.

Bagi yang terlepas episod terdahulu boleh melayari laman YouTube dengan kata carian wehatchyou.

Program WTFaiq diterbitkan Hatch iaitu komuniti yang menggabungkan penerbit dan pembekal kandungan yang mahu memberi inspirasi kepada generasi muda sambil berhibur.

Berita Harian X