Ahad, 30 Julai 2017 | 3:46pm

Video 'I Am Me' versi Sissy Iman viral

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sissy Imann, yang sekadar suka-suka memuat naik video beliau menyanyikan semula lagu Datuk Seri Vida, I Am Me, di Instagram tidak menyangka ia menjadi perhatian umum.

Setakat ini, video berdurasi seminit itu sudah ditonton hampir 70,000 kali sejak ia dimuat naik Rabu lalu.

Sissy sendiri meluahkan rasa terkejut video I Am Me nyanyian versi sendiri menjadi bualan, sehingga jutawan kosmetik itu turut berkongsi klip berkenaan dan memuji cara nyanyiannya.

"Sebenarnya saya merakam video ini sekadar suka-suka. Tak sangka pula ia menjadi viral di Internet.

"Terima kasih kerana menonton dan meninggalkan komen yang baik (sudah tentu ada juga komen yang tak berapa nak baik).

"Saya gembira kerana anda terhibur dengan versi saya," kata Sissy yang dipetik daripada Instagram miliknya.

Dalam pada itu video beliau yang dikongsi oleh Vida di laman sosial Instagramnya turut mendapat tontonan yang tinggi, iaitu lebih 260,000 kali.

Sementara itu, Sissy turut meminta orang ramai untuk tidak membanding-bandingkan cara nyanyiannya dengan penyanyi asal kerana setiap orang mempunyai cara nyanyian yang tersendiri.

"Saya hormat dengan komen anda, tetapi pada pandangan saya dia (Vida) mempunyai cara nyanyiannya yang tersendiri. Saya sangat suka lagu asal itu dan juga versi saya," ujarnya.

Lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu ialah single pertama Vida dan ia mendapat perhatian luar biasa bukan saja di Malaysia, malah masyarakat negara luar.

Sejak dilancarkan kira-kira dua minggu lalu di YouTube, klip lirik rasmi I Am Me berjaya meraih 3.5 juta tontonan.

Berita Harian X