Selasa, 25 Julai 2017 | 5:02pm
JUARA Masterchef Australia musim ke-9, Diana Chan.

Peserta Malaysia juara MasterChef Australia

KUALA LUMPUR: Peserta berasal dari Johor Bahru, Johor, Diana Chan, memenangi pertandingan MasterChef Australia musim kesembilan yang mencapai kemuncaknya menerusi saluran televisyen negara itu, Channel 10, semalam.

Pada pertandingan akhir, wanita yang kini bekerja sebagai akauntan di Victoria itu menewaskan peserta Queensland, Ben Ungermann, dengan hanya satu markah.

Beliau mendapat 90 markah berbanding Ungerman, 89.

Menurut laporan news.com.au, bersama kejayaannya itu, Chan memenangi wang tunai RM849,370 selain kolum bulanan dalam majalah Delicious.

Chan berkata, beliau merancang untuk berehat seketika selepas diumumkan sebagai juara baharu rancangan realiti masakan popular terbabit.

"Saya dihujani dengan pelbagai peluang menakjubkan. Kini, tiba masanya saya berehat seketika dan melihat dengan teliti segenap peluang yang dihulurkan, dalam memastikan ia sesuai dengan matlamat saya," katanya selepas dimahkotakan sebagai pemenang.

Katanya juga, peminat boleh menjangkakan beliau menghasilkan 'hidangan yang cepat dan sihat', merangkumi pelbagai rasa.

"Saya tentu sekali mahu mempunyai pengaruh masakan Malaysia di dalamnya, pada masa sama ia juadah seimbang, menyihatkan dan enak. Itulah kriteria masakan saya," kata Chan.

Ungermann, 32, pula mengalami kecederaan pada ibu jari kirinya selepas 35 minit pusingan pertama berlangsung. Sebagai naib juara, beliau membawa pulang RM135,730.

Di Malaysia, program berkenaan dapat diikuti menerusi saluran Lifetime.

Berita Harian X