Sabtu, 22 Julai 2017 | 2:14pm
Penyanyi, Monoloque (tengah) pada majlis perlancaran single terbaru di PPR Pudu Ulu. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Penyanyi, Monoloque pada majlis perlancaran single terbaru di PPR Pudu Ulu. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Album baharu Monoloque selepas empat tahun

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun, kumpulan Monoloque akhirnya tampil dengan album kedua mereka, Jangan Puja Sampai Kecewa, penghujung bulan ini.

Setelah sekian lama tertangguh, vokalisnya, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annuar, berkata album yang memuatkan 12 lagu itu sudah bersedia untuk diedarkan.

"Bagi lagu terakhir saya menerusi album ini, saya tidak jumpa orang yang berkebolehan untuk membuat proses adunan, jadi saya belajar untuk melengkapkannya sendiri. Dua tahun saya perlukan untuk melakukan proses terbabit.

"Berikutan itu, saya mengambil masa agak lama untuk album ini. Saya mahu tampil dengan album yang boleh membuatkan saya sendiri berpuas hati dengan hasilnya," katanya.

Selain Loque, album baharu itu dilengkapkan dengan penampilan Ijoo, Bakri, Shafiq Raz, Loko, Faliq dan Dax.

Sempena kemunculan album berkenaan juga, Monoloque melancarkan single terkini mereka, baru-baru ini.

Sinlgle kerohanian berjudul Slagi Ada Waktu, hasil ciptaan Encik Farid dan Loque itu dilancarkan pada majlis istimewa di perkarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Pudu, di sini.

Loque berkata, majlis pelancaran itu adalah hasil ideanya sendiri, bertujuan mendekatkan diri dengan rakyat dan pada masa sama memberi sesuatu kembali pada masyarakat.

"Kebanyakan lagu dalam album Jangan Puja Sampai Kecewa adalah mengenai masyarakat, jadi saya rasa cara terbaik untuk melancarkan single Slagi Ada Waktu ini adalah bersama mereka.

"Saya mahu suasana yang dekat dengan realiti kehidupan, lagipun saya mahu hasil kerja saya bukan dikhususkan untuk orang seni saja, tetapi buat semuanya. Slagi Ada Waktu pula ialah lagu paling senang untuk diterima masyarakat.

"Kalau diimbas kembali, kebanyakan pelancaran single saya terdahulu diadakan di pusat hiburan dan restoran tempatan, justeru saya mahukan kelainan dengan membawa majlis pelancaran lagu ini di sini," katanya.

Pada majlis terbabit, Monoloque turut mengedarkan 400 nasi ayam untuk penduduk setempat sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menyokong perjalanan muzik kumpulan itu selama ini.

Selain itu, Monoloque turut membuka peluang buat peminat menghantar video berdurasi seminit, menceritakan mengenai perkara paling berharga dalam hidup. Video terbaik yang dipilih akan disatukan dan berkemungkinan dimuatkan dalam video muzik Slagi Ada Waktu.

Peraduan berkenaan dibuka sehingga 11 Ogos ini dan pemilihannya akan dibuat menerusi pencarian hashtag di laman sosial Instagram dan Facebook, #SlagiAdaWaktuMonoloque.

Lagu edaran Warner Music itu boleh dimuat turun di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Joox, Yonder, iTunes dan KKBox.

Berita Harian X