Khamis, 20 Julai 2017 | 12:52pm

Petisyen sokong Fattah bintangi Coffee Prince

KUALA LUMPUR: Perang memilih hero drama Korea, Coffee Prince versi Melayu terus hangat apabila Team5Angels menggerakkan petisyen menyokong aktor kacak, Fattah Amin menjadi bintang utama naskhah yang bakal diarahkan Michael Ang itu.

Kumpulan Team5Angels yang melancarkan undian menyokong Fattah melalui laman GoPetition sejak 14 Julai lalu, mendakwa mengumpul 2,014 undi menyokong bintang Hero Seorang Cinderella (HSC) itu membawa watak Choi Han-Gyul lakonan aktor terkenal, Gong Yoo dalam versi asal.

Malah, kumpulan itu mendakwa, sehingga semalam, hanya 297 orang membantah cadangan mereka mencalonkan Fattah.

Kumpulan Team5Angels memberitahu BH Online, petisyen yang diusahakan mereka mendapat sambutan baik daripada pencinta drama Melayu tempatan.

"Petisyen balas ini berjaya mengumpul hampir 2,000 tandatangan penyokong yang mahukan Fattah dipilih menjadi bintang utama drama Coffee Prince versi Melayu.

"Mereka yang membantah bukanlah suara rakyat Malaysia secara amnya, malah tidak mewakili pelanggan Astro sepenuhnya.

"Sehubungan itu, kami fikir pihak produksi tidak seharusnya goyah dengan kumpulan minoriti ini yang bertindak mengikut emosi tanpa fakta sokongan yang jelas, " katanya.

Sementara itu, Fattah sebelum ini dilaporkan tidak tahu-menahu mengenai petisyen membantah kemunculannya dalam drama popular berkenaan.

Malah, Fattah juga mengaku belum ada pengesahan hitam putih atau dokumen bertulis mengenai pembabitannya dalam drama Coffee Prince.

Drama 'remake' itu dikatakan bakal menampilkan pelakon popular, Janna Nick melakonkan watak herion iaitu Ko Eun-Chan.

Drama Coffee Prince yang ditayangkan di Malaysia pada 2007 mencetuskan fenomena bagi peminat drama Korea.

3477 dibaca
Berita Harian X