Sabtu, 9 September 2017 | 3:43pm
PENYANYI Zizi Kirana menyifatkan kecaman netizen terhadap penampilannya yang dikatakan seksi sebagai isu yang sengaja disensasikan. - Foto Instagram
ANTARA gaya Zizi Kirana yang mencetuskan pertikaian peminat di media sosial.
ANTARA gaya Zizi Kirana yang mencetuskan pertikaian peminat di media sosial.

Dulu OK saja - Zizi Kirana

KUALA LUMPUR: Penyanyi Zizi Kirana menyifatkan kecaman netizen terhadap penampilannya yang dikatakan seksi sebagai isu yang sengaja disensasikan sedangkan dia sudah terbiasa dengan imej begitu sejak mula mencipta nama.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizi Mohd Tahil, 32, hairan mengapa baru kini imej yang dibawanya itu diperdebatkan kerana selama ini, tiada siapa yang mempedulikan cara pemakaiannya.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh itu berkata, dia menyedari penampilannya mula diperkatakan selepas menyertai pertandingan D'Academy Asia 2 (DAA2) di Jakarta, Indonesia.

"Mungkin sebelum ini nama saya kurang menyerlah, jadi peminat tidak begitu mempedulikan cara pemakaian saya. Agaknya baru kini mereka menyedari kehadiran saya, lalu mengikuti perkembangan saya di media sosial.

"Bagi saya, pakaian yang saya gayakan itu tidak terlalu seksi atau mencolok mata. Saya berpakaian mengikut keselesaan dan kesesuaian tempat," katanya.

Zizi yang pernah mencipta nama bersama kumpulan The Fabulous Cats berkata, biarpun menerima pelbagai kecaman yang ditinggalkan di laman sosialnya, dia tidak pernah ambil hati. Baginya, tidak guna memikirkan perkara remeh yang hanya memberi kesan negatif kepada dirinya.

"Saya tidak kisah dikecam, malah tidak pernah sesekali membalas segala komen yang diberikan. Tidak guna berbahas di media sosial, meskipun ada di antara komen yang dilemparkan agak keterlaluan dan menghiris hati.

"Saya cuma melakukan kerja saya dan tidak berbuat salah dengan sesiapa. Mereka tidak perlu menghukum hanya dengan menilai berdasarkan gambar yang dimuat naik di media sosial," katanya.

Terlebih dulu tampil bersama single, Rahsia Hati, Zizi yang bakal melancarkan lagu terbarunya, Boleh Jalan ciptaan bersama DJ Fuzz dan Waris turut merancang untuk memperkenalkan lagu itu kepada peminatnya di Indonesia.

"Sejak menyertai DAA2, saya mula mengumpul kelompok peminat di sana yang bersatu di bawah Zizi Fellas. Mereka banyak membantu mempromosikan nama saya di Indonesia.

"Ekoran sambutan positif yang diberikan, saya berhasrat untuk memperkenalkan Boleh Jalan kepada peminat di negara itu," katanya yang turut aktif mengadakan persembahan di Jakarta.

35237 dibaca
Berita Harian X