Ahad, 16 Julai 2017 | 6:12pm

Fathia nikah hujung tahun?


PELAKON, Fathia Latiff. - Foto Rohanis Shukri

BERKAT berdoa di hadapan Baitullah ketika menunaikan umrah bersama ibu bapanya pada Ramadan lalu, membuka pintu hati aktres jelita, Nur Fathia Abdul Latiff, 29, untuk melepaskan zaman solo.

Raja tengok sebelum ini, pelakon yang popular dengan drama Ariana Rose, Dia Isteri Luar Biasa dan Plan Cinta Tak Jadi itu masih bertarik tali, mungkin bimbang terperangkap dengan permainan cinta lagi.

Fathia pernah memberitahu, dia semakin rapat dengan jejaka yang hanya diperkenalkan sebagai A yang dikenalinya sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sudah saling mengenali sejak enam tahun lalu, khabarnya hubungan cinta mereka hanya berputik sejak beberapa bulan lalu.

Sumber memberitahu Raja, Fathia dan kekasihnya yang juga ahli perniagaan berusia 20-an itu sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Namun, tarikh masih belum ditetapkan lagi. Mungkin Oktober, November atau Disember. Maknanya hujung tahunlah kan... Bagaimanapun, hingga kini, Fathia belum membuka mulut berbicara soal perkahwinan. Mungkin Fathia masih mahu berahsia...

Keluarga sudah bertemu

Raja dengar keluarga kedua-dua belah pihak juga sudah lama saling mengenali. Keluarga Fathia dan A adalah kenalan lama. Mereka mula berkawan apabila Fathia dan keluarganya menghadiri majlis perkahwinan saudara rapat A, beberapa tahun lalu.

Raja lihat A memang ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu memperisterikan Fathia. Jika tidak, masakan A sering mengambil tahu perkembangan Fathia dan mengekorinya tanpa disedari.

Pelakon yang pernah dijulang Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29) itu, bagaimanapun masih ragu-ragu dengan keikhlasan dan ketulusan hati lelaki. Iyalah, kita tahu, sebelum ini, hati Fathia pernah hancur apabila putus cinta dengan pelakon kacak, Aiman Hakim Ridza. Bertahun lamanya Fathia membiarkan jiwanya lara dan kekosongan.

Bagaimanapun, Raja gembira mendengar Fathia perlahan-perlahan membuka pintu hatinya yang terkunci rapat apabila melihat ketulusan hati A yang sering bersabar dengan kerenahnya.

Sebelum berlepas ke Makkah, Fathia ada memberitahu Raja, dia mahu berdoa dipertemukan dengan jodoh yang baik di hadapan Kaabah. Sekiranya takdir membawa hubungan mereka ke arah kebaikan, Fathia sudah bersedia menamatkan zaman bujangnya.

Uji keikhlasan kekasih

Sebenarnya, agak sukar Fathia kembali menyerahkan hatinya kerana masih skeptikal dengan keikhlasan lelaki yang mengejar cintanya. Setiap kali didekati lelaki, Fathia akan terlebih dulu menguji keikhlasan mereka kerana bimbang terpedaya dengan janji palsu.

Fathia juga berharap, kesungguhan yang ditunjukkan A bukan hanya pada permulaan, sebaliknya akan berkekalan sampai bila-bila. Fathia tidak mahu A hanya bersungguh-sungguh sekadar untuk memenangi hatinya saya, sebaliknya berharap, jejaka itu akan terus mencintainya sepenuh jiwa.

"Selalunya, ketika mula bercinta wanita akan ditatang bagaikan minyak yang penuh dan lelaki sanggup berkorban apa saja. Selepas berkahwin, semua bertukar sekelip mata. Saya bukan skeptikal terhadap perkahwinan, cuma tidak mahu tersalah langkah. Kalau boleh, saya hanya mahu meniti alam perkahwinan hanya sekali, jadi, saya perlu berwaspada. Saya perlu menilai dan kenal hati budi dulu," katanya dalam satu kenyataan tidak lama dulu.

Apapun, jodoh rahsia Allah. Semoga Fathia dan A cepat naik pelamin...

RAJA: Sukar menjangkakan ketulusan hati seorang penyanyi popular terhadap kekasihnya. Asyik tenggelam timbul, persoalannya serius atau tidak?

3522 dibaca
Berita Harian X