Khamis, 13 Julai 2017 | 6:39pm

Belum pasti siapa bakal jodoh saya - Sufi Rashid


PENYANYI, Sufi Rashid. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufi Rashid, mendakwa cerita beliau ingin bertunang sudah beberapa kali bertebaran walaupun tiada sebarang kepastian mengenai perkara berkenaan.

Terbaru, juara Akademi Fantasia 2015 itu dikhabarkan bakal mengikat tali pertunangan dengan seorang pramugari pada 28 Januari tahun depan.

Ketika dihubungi BH Online, Sufi yang menyifatkan cerita terbabit sebagai tidak mempunyai asasnya berkata, sehingga kini beliau sendiri belum tahu siapakah bakal menjadi jodohnya.

"Sebelum ini pun, sudah beberapa kali cerita yang sama keluar. Jadi, dalam soal hendak bertunang itu, saya sendiri tidak pasti dengan siapa saya akan bertemu jodoh? Namun, kalau benar ada jodoh, saya tentunya sangat gembira.

"Jika saya ditakdirkan hendak bertunang atau berkahwin, saya juga takkan meminta ibu atau teman yang mengumumkan berita menggembirakan berkenaan. Biarlah saya umumkan sendiri.

"Apabila ia membabitkan perkara baik sebegitu, pastinya saya akan kongsi dengan rakan media dan peminat di laman sosial," kata penyanyi yang kini popular dengan lagu Aku Sanggup itu.

Mengenai pramugari kelahiran Malaysia yang bekerja di Singapura bernama Ain, Sufi, 27, mengakui wanita itu antara teman rapat yang dikenali sejak setahun lalu.

"Setakat ini, saya belum tahu siapa jodoh saya. Apa saja boleh terjadi dalam perjalanan hidup ini," kata artis kelahiran Kota Singa berkenaan.

Sementara itu, ketika diaju pertanyaan mengenai perselisihan faham dengan ibunya, Irma Suriana Mahamud, yang dikatakan masih berlarutan hingga sekarang, Sufi enggan memberikan ulasan yang mungkin mengeruhkan lagi hubungan antara mereka.

Beberapa hari lalu, ibunya memuat naik status di laman sosial beliau yang membayangkan hubungan antara mereka masih lagi tidak menemui titik perdamaian.

350 dibaca
Berita Harian X