Jumaat, 7 September 2018 | 10:15pm
JACINDA Ardern. - Foto Reuters

Ardern dikritik hebat isu peletakan jawatan menteri

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berdepan krisis besar pertamanya ketika berdepan peletakan jawatan menteri yang bermasalah.

Ardern mengambil alih kuasa ketika gelombang ‘Jacinda-mania’ tahun lalu, dengan Parti Buruh mendahului kerajaan campuran yang menjanjikan perubahan.

Persekitaran yang optimis dalam pentadbirannya meningkat sejak Jun lalu ketika beliau melahirkan bayi perempuannya Neve, menjadikan beliau pemimpin wanita dunia kedua melahirkan bayi ketika dalam jawatan.

Bagaimanapun, persekitaran kerja pemimpin berusia 38 tahun itu, mulai malap dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, ketika berlaku perselisihan faham antara rakan pakatan dan hilang keyakinan dalam perniagaan.

Ardern mendedahkan hari ini, kerajaan pimpinannya berdepan masalah pertama, apabila Menteri Penyiaran, Clare Curran meletak jawatan selepas menggunakan akaun e-mel peribadi untuk menjalankan urusan kerajaan.

Curran yang berdepan tindakan disiplin sebanyak dua kali kerana gagal mengisytiharkan mesyuarat, berkata beliau berdepan ‘tekanan melampau’ dan tidak mahu menjadi bebanan terhadap kerajaan.

Keadaan itu mengundang kritikan apabila ramai yang mendakwa cara Ardern berdepan masalah itu seolah-olah mengelirukan orang ramai. - AFP

171 dibaca
Berita Harian X