Rabu, 22 Ogos 2018 | 9:27am
Foto hiasan

Gempa 6.7 magnitud gegar Vanuatu

SYDNEY: Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud menggegarkan pulau Pasifik Vanuatu pagi ini, tetapi tidak ada amaran tsunami dikeluarkan, kata Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran berlaku pada kedalaman sederhana iaitu 30 kilometer dengan pusat gempa terletak di hujung utara Vanuatu, di pulau Ambrym yang tidak mempunyai ramai penduduk.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata tidak ada ancaman tsunami berlaku.

“Gegaran dapat dirasakan di seluruh Vanuatu,” kata Pakar Seismologi Geosains Australia, Eddie Leask kepada AFP.

Katanya, sukar untuk mengetahui sama ada ia menyebabkan kerosakan. Ia agak cetek tetapi semuanya bergantung kepada bangunan, jenis tanah dan beberapa faktor lain.

Geosains menerusi laman web meletakkan potensi jarak kerosakan berada pada 63 kilometer.

Pejabat Pengurusan Bencana Vanuatu berkata, setakat ini tidak ada sebarang kerosakan dilaporkan.

Vanuatu, dengan penduduk kira-kira 280,000 terdiri daripada 65 pulau yang didiami, dianggap sebagai salah satu negara paling rawan bencana di dunia. - AFP

253 dibaca
Berita Harian X