Selasa, 21 Ogos 2018 | 9:19am
TENTERA Brazil ketika operasi penangkapan kumpulan penyeludup dadah bersenjata berat di kompleks kelab Alemao di Rio de Janeiro, Brazil. - Foto Reuters

Operasi keselamatan di Rio ragut 13 nyawa

RIO DE JANEIRO: Perang dadah di bandar raya kedua terbesar Brazil menyebabkan sekurang-kurangnya 11 suspek penjenayah dan dua anggota tentera maut semalam.

Kejadian berlaku apabila tentera melancarkan kempen besar-besaran di kawasan setinggan miskin dan ketika polis mengejar penjenayah pada waktu puncak.

Pemerintah tentera yang mengetuai keselamatan di Rio de Janeiro berkata, kematian dua anggotanya adalah yang pertama sejak Presiden Michel Temer menghantar mereka untuk melindungi Rio.

Tentera berkata, 4,200 anggota yang dibantu kereta perisai dan pesawat, memasuki kejiranan Penha dan kawasan setinggan Alemao dan Mare, yang dikendalikan penyeludup dadah bersenjata berat.

Cuma 70 anggota polis dikatakan terbabit, menunjukkan peralihan daripada operasi terdahulu yang menyaksikan polis mengetuai serbuan dan tentera cuma memberi bantuan.

Menurut pasukan polis Rio, 430 kilogram dadah dirampas di Mare, jumlah lebih besar berbanding biasa dalam operasi seumpama itu.

Tentera membuang sekatan jalan raya yang didirikan kumpulan dadah, diikuti maklumat terhadap suspek penyeludup dan memeriksa kenderaan dan penduduk, kata tentera dalam kenyataan.

Selain itu, tentera turut mengedarkan risalah meminta kerjasama daripada penduduk.

Bagaimanapun, aktivis hak asasi bimbang kematian dan peranan askar, berbanding polis, memberi petunjuk membimbangkan dalam perang jenayah yang tidak berkesudahan di bandar raya itu. — AFP

592 dibaca
Berita Harian X