Selasa, 24 Julai 2018 | 11:38am
MENTERI Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Peter Dutton. - Foto AFP

Australia berkas 600 penyeludup manusia

SYDNEY: Lebih 600 penyeludup manusia berjaya ditahan di enam negara sejak Kerajaan Australia memperkenalkan dasar sempadan yang lebih ketat, termasuk mengarahkan 30 bot yang membawa pemohon suaka kembali ke destinasi asal masing-masing.

Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Peter Dutton, berkata 'operasi kedaulatan sempadan' yang sebelum ini dikategorikan sebagai satu rahsia oleh kerajaan konservatif, selain mencetuskan kontroversi sebenarnya berjaya menyelamatkan nyawa manusia.

"Tiada kematian dilaporkan berlaku di kawasan perairan negara sepanjang pengawasan saya," katanya.

Operasi ketenteraan yang bermula sejak September 2013, berjaya menyekat kebanjiran ketibaan bot membawa pendatang, yang menimbulkan masalah kepada bekas kerajaan yang diterajui Parti Buruh, sebelum ini.

Dianggarkan 50,000 pemohon suaka menuju ke Australia dengan menaiki lebih 800 bot dalam tempoh lima tahun, iaitu sebelum kerajaan pimpinan Parti Konservatif melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap pendatang.

Dalam pada itu, ratusan pendatang, kebanyakannya dari negara yang dilanda perang seperti Afghanistan, Sri Lanka dan Asia Barat dilaporkan maut ketika menempuh perjalanan ke Australia.

"Individu yang terbabit dengan penyeludupan manusia, sebenarnya menjadi punca masalah ini, kerana mengambil kesempatan terhadap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah dengan niat mengaut keuntungan dari mereka.

"Mereka tidak peduli sama ada mangsa berjaya tiba dengan selamat di Australia atau karam di laut," kata Dutton.

Beliau juga berkata, cubaan untuk menyeludup 2,500 individu berjaya digagalkan, apabila 33 bot diarah berpatah balik dan sebahagian besarnya ke Indonesia. - AFP

188 dibaca
Berita Harian X