Jumaat, 11 Mei 2018 | 7:32am
KERAJAAN Mesir terpaksa mengurangkan subsidi serta meningkatkan cukai. - Reuters

Tambang kereta api Mesir meningkat

KAHERAH: Harga tambang tiket kereta api di ibu negara Mesir meningkat lebih tiga kali ganda untuk jarak tertentu, ketika kerajaannya melaksanakan langkah penjimatan berdasarkan syarat yang ditetapkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kata agensi berita rasmi MENA.

Bagi sembilan hentian pertama, pengguna akan dikenakan tambang asas sebanyak tiga pound Mesir (RM0.67), lima pound Mesir (RM1.11) untuk jarak sehingga 16 hentian dan maksimum tujuh pound Mesir (RM1.58) untuk perjalanan melebihi 16 hentian, lapor MENA memetik keputusan Kementerian Pengangkutan.

Sebelum ini, pengguna hanya perlu membayar tambang asas dua pound Mesir (RM0.43) tanpa had hentian sehingga boleh menukar perkhidmatan laluan lain.

Tindakan itu terpaksa dilakukan ketika Mesir meneruskan langkah penjimatan sebagai syarat kepada perjanjian pinjaman IMF sebanyak AS$12 bilion (RM47.41 bilion) selama tiga tahun yang ditandatangani pada lewat 2016.

Selain perkhidmatan kereta api, Mesir turut mengurangkan subsidi serta meningkatkan cukai untuk membendung defisit bajet dan menarik pelabur yang lari susulan kebangkitan pada 2011.

Tindakan kerajaan itu mencetuskan kemarahan penduduk Kaherah yang sudah dibebani peningkatan kos sara hidup, selepas kenaikan dua kali ganda tambang kereta api sebelum ini mencetuskan kemarahan jutaan pengguna. - Reuters

650 dibaca
Berita Harian X