Sabtu, 5 Mei 2018 | 3:57am
PULUHAN penduduk Palestin dalam tunjuk perasaan di sempadan Gaza yang memasuki minggu keenam. - Foto EPA

Puluhan penduduk Palestin cedera ditembak rejim Zionis

GAZA : Puluhan penduduk Palestin tercedera ditembak rejim Zionis, hari ini dalam tunjuk perasaan di sempadan Gaza yang memasuki minggu keenam.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, sejumlah 1,143 dirawat setakat ini, sebilangan besar kerana terhidu gas pemedih mata manakala 83 lagi mengalami kecederaan akibat ditembak dengan peluru hidup.

Asap tebal yang berwarna kehitaman dilihat menyelubungi timur Gaza apabila penduduk Palestin bertindak membakar tayar serta menerbangkan layang-layang, dengan satu darinya mengandungi bom Molotov, khusus untuk mencetuskan kebakaran di kawasan dikuasai Israel.

Sebaik menghampiri kawasan sempadan yang berpagar, penunjuk perasaan berkenaan akan berundur semula kerana ditembak dengan gas pemedih mata oleh tentera Zionis itu.

Jurucakap tentera berkata, beberapa penunjuk perasaan turut melontar batu ke arah pasukan Israel.

Tentera Israel juga mendakwa, terdapat cubaan untuk mensabotaj pagar keselamatan dan menceroboh kawasan milik mereka.

Cubaan itu bagaimanapun menurut jurucakap itu, berjaya dipatahkan apabila sekumpulan tentera tiba di kawasan berkenaan dan memaksa kumpulan penduduk Palestin itu berundur semula ke Semenanjung Gaza. - AFP

759 dibaca
Berita Harian X