Sabtu, 14 April 2018 | 7:48am

Darurat di Mesir dilanjut tiga bulan lagi

KAHERAH : Tempoh darurat di Mesir membabitkan seluruh negara dilanjutkan selama tiga bulan lagi bermula hari ini.

Menurut akhbar rasmi negara, arahan berkenaan dikeluarkan Presiden Abdel Fattah al-Sisi hari ini.

"Tempoh terbaru itu adalah untuk membolehkan pasukan keselamatan mengambil pendekatan sewajarnya bagi mengekang ancaman dan bahaya dari kumpulan pengganas di seluruh negara," lapor akhbar berkenaan.

Mesir berdepan ancaman militan Daesh di rantau Utara Sinai yang telah meragut ratusan nyawa anggota polis dan tentera sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ancaman diberikan kumpulan berkenaan kini turut membabitkan orang awam.

Darurat pertama di Mesir diisytiharkan pada April tahun lalu selepas serangan bom ke atas dua buah gereja yang meragut 45 nyawa.

Ia dilanjutkan pada Julai lalu dan sekali lagi pada Januari tahun ini.

Selain Daesh, Mesir turut diancam kumpulan militan yang beroperasi di kawasan padang pasir bersempadan dengan Libya. - Reuters

564 dibaca
Berita Harian X