Isnin, 9 April 2018 | 10:47am

Ramai mangsa maut, cedera serangan di pangkalan udara

DAMSYIK: Beberapa orang dilaporkan maut dan cedera dalam serangan ke atas pangkalan udara milik tentera di sini, selepas Amerika Syarikat memberi amaran kepada Syria yang disyaki melakukan serangan kimia terhadap bandar dikuasai pemberontak di Timur Ghouta.

"Ramai mangsa maut dan cedera dalam serangan peluru berpandu di lapangan terbang Tayfur," lapor agensi berita tempatan, SANA yang memetik sumber tentera.

Serangan ke atas pangkalan udara di wilayah Homs, dipercayai berlaku susulan kemarahan pihak antarabangsa selepas Syria menyerang kawasan pemberontak di Timur Ghouta, berhampiran Damsyik.

Sementara itu, pasukan tentera udara Syria mendakwa berjaya menembak jatuh lapan peluru berpandu yang menyasarkan pangkalan udara di tengah Syria pada awal pagi tadi.

Stesen televisyen tempatan turut melaporkan, bunyi letupan kedengaran di pangkalan udara Tayfur berhampiran Homs, menyebabkan beberapa mangsa maut dan cedera.

Media tempatan Syria mengesyaki serangan dilakukan oleh Washington, tetapi pegawai dari negara itu, menolak dakwaan bahawa tentera Amerika Syarikat bertanggungjawab dalam serangan itu.

Dakwaan itu dibuat berikutan ancaman oleh Presiden Donald Trump bahawa Syria 'perlu membayar harga yang tinggi' selepas kumpulan bantuan perubatan melaporkan puluhan rakyat negara itu maut dalam serangan gas beracun di bandar yang dikuasai pemberontak.

Bagaimanapun, Kerajaan Syria menafikan pasukan tentera kerajaan melancarkan serangan kimia itu, malah Russia, iaitu sekutu rapat Presiden Bashar Al-Assad menganggap laporan itu adalah palsu. - AFP/Reuters

1137 dibaca
Berita Harian X