Khamis, 8 March 2018 | 10:25pm
Penduduk Palestin membawa mayat seorang penduduknya yang ditembak mati oleh tentera Israel di pintu masuk ke penempatan berdekatan bandar Nablus di Tebing Barat. . - Foto AFP

Polis Israel berhak simpan mayat pejuang Palestin

BAITULMAQDIS: Ahli perundangan Israel meluluskan rang membenarkan polis menahan mayat pejuang Palestin selama-lamanya, kata Parlimen hari ini.

Akta itu diluluskan lewat semalam dengan 48 undian menyokong berbanding 10 menentang, menurut kenyataan Knesset.

Ia menyusul satu lagi langkah membenarkan Menteri Dalam Negeri Israel menarik balik permit penduduk tetap Palestin di timur Baitulmaqdis jika mereka terbabit dengan keganasan.

Kerajaan mengumumkan pada 2016 bahawa ia tidak akan melepaskan mayat pejuang Palestin yang maut dalam serangan untuk dikebumikan kecuali pentadbiran Palestin di Gaza menyerahkan mayat dua tentera Israel dipercayai terbunuh dalam perang di Gaza pada 2014.

Pada November 2017, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi petanda Israel tidak akan menyerahkan mayat lima pejuang Jihad Islam yang terkorban apabila tentera meletupkan terowong yang memanjang dari Semenanjung Gaza ke wilayahnya.

Mahkamah Agung Israel menetapkan pada Disember lalu bahawa dasar itu tidak sah menurut undang-undang sedia ada, tetapi memberikan masa kepada kerajaan selama enam bulan untuk menggubal peraturan baru.

Akta yang disemak semula itu memberikan kuasa kepada komander polis daerah menetapkan syarat bagi penyerahan semula mayat pejuang kepada keluarga untuk pengebumian, menurut kenyataan Knesset. - AFP

729 dibaca
Berita Harian X