;
Rabu, 7 March 2018 | 2:47pm

Gempa bumi susulan di PNG, 18 lagi maut

SYDNEY: Sekurang-kurangnya 18 maut selepas gempa bumi dengan magnitud 6.7 pada skala Richter melanda kawasan pergunungan Southern Highlands, di Papua New Guinea (PNG) awal pagi tadi.

Ia berlaku pada tengah malam (waktu tempatan) di sebuah kawasan yang terletak 31 kilometer di arah barat daya pusat gempa pada Isnin lalu.

Dalam kejadian gempa magnitud 7.5 pada skala Richter itu, puluhan kampung musnah akibat tanah runtuh manakala 55 mangsa maut.

Ia adalah kejadian paling buruk susulan siri gempa bumi yang menggemparkan wilayah yang kaya dengan sumber asli itu.

Kejadian berlaku di lokasi yang terletak kira-kira 600 kilometer di barat laut Port Moresby hingga menyukarkan usaha menghulurkan bantuan kecemasan kepada hampir 150,000 penduduk.

"Saya baharu sahaja menerima laporan bahawa 18 orang terbunuh malam, semalam. Nampaknya kawasan Hides dilanda gempa kuat.

"Kami belum mendengar sama ada terdapat kehilangan nyawa di sana, tetapi ia sebuah perkampungan besar yang padat penduduk," kata Pentadbir Wilayah Hela, William Bando kepada Reuters.

Semalam, media tempatan melaporkan bahawa angka kematian daripada gempa bumi pertama meningkat kepada 75 orang, selepas laporan awal pegawai kerajaan mencatatkan jumlah kematian seramai 55 orang. - Reuters

804 dibaca
Berita Harian X