;
Ahad, 4 March 2018 | 10:31pm
BENJAMIN Netanyahu (kanan) dan Donald Trump. - Foto Reuters

PM Israel jemput Trump rasmi kedutaan baru AS

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, akan berbincang mengenai kemungkinan kehadiran Presiden Donald Trump pada majlis perasmian Kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis pada Mei ini apabila kedua-dua pemimpin itu bertemu esok.

Netanyahu membuat kenyataan itu lewat semalam sebelum menaiki pesawat ke AS.

"Saya akan berbincang dengan beliau mengenai kemungkinan itu.

"Saya berterima kasih kepadanya kerana pengiktirafan bersejarah Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan AS ke bandar raya itu pada hari kemerdekaan Israel," katanya menjawab soalan wartawan sama ada beliau bercadang menjemput Trump ke majlis itu.

Tarikh pembukaan kedutaan itu pada 14 Mei ini adalah sempena ulang tahun ke-70 penubuhan Israel.

Bagi penduduk Palestin, tarikh itu mewakili ulang tahun Nakba atau 'malapetaka', yang menyaksikan ratusan ribu sama ada melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka dalam perang bagi penubuhan Israel. - AFP

908 dibaca
Berita Harian X