;
Ahad, 4 March 2018 | 6:41pm
KIRA-KIRA 150,000 penduduk di Papua New Guinea memerlukan bantuan bekalan kecemasan selepas hampir seminggu dilanda gempa bumi, yang memusnahkan jalan raya dan menyebabkan tanah runtuh. - Foto Reuters

150,000 penduduk perlu bantuan segera

SYDNEY: Kira-kira 150,000 penduduk di Papua New Guinea memerlukan bantuan bekalan kecemasan selepas hampir seminggu dilanda gempa bumi, yang memusnahkan jalan raya dan menyebabkan tanah runtuh.

"Seramai 7,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah atau rosak dalam kejadian itu.

"Manakala 147,000 lagi mangsa memerlukan bekalan makanan, air serta bantuan bagi kerja-kerja pembersihan," kata pengarah Palang Merah Antarabangsa di Papua New Guinea, Udaya Regmi kepada Reuters, hari ini.

Sementara itu, tanah runtuh memutuskan sistem pengangkutan jalan raya, sekali gus menghalang penghantaran bantuan ke beberapa kawasan yang amat memerlukan.

"Cabaran utama adalah masalah jalan raya yang menyebabkan lori dan kenderaan pacuan empat roda tidak boleh sampai ke kawasan itu.

"Setakat ini, masih belum wujud kebimbangan mengenai isu kebuluran, namun kita tidak mengetahui keadaan sebenar di lokasi," kata Regmi.

Dalam pada itu, Papua New Guinea mengumumkan darurat di seluruh wilayah yang terjejas dengan gempa bumi, namun tahap kemusnahan akibat bencana itu tidak diketahui, sehinggalah pekerja bantuan dan pihak berkuasa selesai membuat penilaian. - Reuters

285 dibaca
Berita Harian X