;
Jumaat, 23 Februari 2018 | 8:18am
Bangunan Kedutaan Russia Buenos Aires, Argentina di mana kira-kira 389 kilogram kokain dijumpai. - Foto REUTERS

Enam diberkas cuba seludup dadah ke Russia

BUENOS AIRES: Seramai enam individu dipercayai pengedar dadah diberkas susulan penemuan 389 kilogram kokain di Kedutaan Russia di sini, hasil operasi bersama selama lebih setahun.

Menurut Kerajaan Argentina, siasatan bermula pada 2016, selepas Duta Russia ke Argentina membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai cubaan sekumpulan penyeludup memindahkan 16 beg kokain dari bangunan kedutaan itu di sini, menggunakan penerbangan diplomatik.

Berikutan itu, hasil operasi bersama antara polis Russia dan Argentina, pihak berkuasa berjaya menukar kokain terbabit dengan tepung ketika beg itu masih berada di bangunan kedutaan.

"Alat pengesan dipasang di dalam beg pakaian yang digunakan untuk menghantar dadah itu ke destinasinya, iaitu Russia," kata Menteri Keselamatan Argentina, Patricia Bullrich kepada wartawan.


Sebahagian kokain yang ditemui di kedutaan Rusia di Buenos Aires, Argentina. - Foto REUTERS

Susulan itu, seorang anggota polis Argentina dan seorang lagi warga sebuah negara di Amerika Selatan berjaya ditahan pihak berkuasa, semalam

"Suspek lain berjaya diberkas di Russia, sementara ketua perancang plot terbabit masih dalam buruan pihak berkuasa," kata Bullrich.

Sementara itu, AFP melaporkan dadah yang ditemui di Kedutaan Russia di Argentina dianggarkan bernilai AS$50 juta (RM1.95 juta) dan ia dipercayai berasal dari Colombia atau Peru. - Reuters/AFP

370 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »