Isnin, 9 Oktober 2017 | 11:32am
Gambar fail, anggota tentera yang menentang Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika cubaan rampasan kuasa tahun lalu. - Foto Reuters

150 bekas anggota tentera Turki dibicarakan

SILIVRI: Hampir 150 bekas anggota tentera Turki dibicarakan hari ini berhubung pertempuran di atas jambatan di Istanbul ketika cubaan rampasan kuasa tahun lalu yang meragut puluhan nyawa termasuk sekutu kanan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Jambatan merentasi selat Bosphorus di Istanbul menjadi lokasi pertempuran berdarah antara penyokong Erdogan dan tentera yang menentangnya, bertujuan menyingkirkan kerajaan pada malam 15 Julai 2016.

Ia dinamakan semula oleh kerajaan sebagai Jambatan Syahid 15 Julai.

Antara yang terbunuh termasuk pengurus kempen Erdogan, Erol Olcol, dan anak lelakinya yang berusia 16 tahun, Abdullah Tayyip, apabila tentera melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di atas jambatan yang menghubungkan Asia dan Eropah itu.

Erol Olcok menamakan anak lelakinya sempena Erdogan dan penyandang jawatan presiden sebelum ini, Abdullah Gul.

Secara keseluruhan, 143 suspek termasuk 30 pegawai, hadir di mahkamah. Semua dituduh melakukan jenayah daripada bunuh hingga cuba menumbangkan Parlimen dan kerajaan.

Jika disabitkan, setiap suspek berdepan 37 hukuman penjara seumur hidup. - AFP

822 dibaca
Berita Harian X