Rabu, 13 September 2017 | 12:55pm

Kesan radioaktif sah hasil ujian nuklear

SEOUL: Korea Selatan mengesahkan kesan radioaktif gas xenon disahkan berpunca daripada ujian nuklear Korea Utara awal bulan ini, tetapi tidak dapat merumuskan sama ada ia dilakukan bagi bom hidrogen seperti didakwa Pyongyang.

Korea Utara melakukan ujian nuklear keenam pada 3 September lalu, memaksa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meningkatkan sekatan dengan mengharamkan eksport tekstil rejim itu dan mengehadkan bekalan bahan apinya.

Suruhanjaya Keselamatan dan Keselamatan Nuklear berkata, pengesan xenon daratnya di beberapa bahagian timur laut negara itu mengesan isotop xenon-133 sembilan kali, manakala peralatan bergerak di pantai timur mengesan kesan isotop empat kali.

"Sukar memutuskan sejauh mana kuatnya ujian nuklear itu dengan jumlah xenon yang dikesan, tetapi kami boleh katakan ia dari Korea Utara," kata Pesuruhjaya Eksekutif, Choi Jongbae, kepada sidang akhbar di Seoul.

Ia tidak dapat mengesahkan jenis ujian nuklear yang dilakukan Korea Utara.

Xenon adalah gas tidak berwarna yang wujud secara semula jadi yang digunakan dalam pengeluaran beberapa jenis lampu.

Namun xenon-133 yang dikesan adalah isotop radioaktif yang tidak wujud secara semula jadi dan dikaitkan dengan ujian nuklear Korea Utara pada masa lalu. - Reuters

1972 dibaca
Berita Harian X