Jumaat, 8 September 2017 | 4:25pm
LEBIH 1,000 orang dipercayai terbunuh dalam keganasan di Rakhine, Myanmar. - Foto AFP

1,000 maut dalam keganasan di Rakhine: PBB

SEOUL: Lebih 1,000 orang dipercayai terbunuh dalam keganasan di Rakhine, Myanmar, kebanyakannya minoriti Islam Rohingya, kata wakil kanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dua kali ganda angka diberi kerajaan.

Wakil Khas PBB untuk hak asasi manusia di Myanmar, Yanghee Lee berkata, kemungkinan kira-kira 1,000 orang atau lebih terkorban.

"Angka ini mungkin daripada kedua-dua pihak (tentera dan pemberontak) namun ia mungkin lebih banyak dari kalangan penduduk Rohingya sendiri," katanya.

Sejak dua minggu lalu, 164,000 orang, kebanyakannya penduduk awam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, menyesakkan kem pelarian yang sudah sedia sesak.

Yang lain maut ketika cuba melarikan diri daripada pertempuran di Rakhine, di mana saksi berkata, keseluruhan perkampungan dibakar sejak pemberontak Rohingya melancarkan siri serangan terancang 25 Ogos lalu, mencetuskan tindakan keras tentera.

Angka diberi Lee, seorang ahli akademik di Korea Selatan dalam temuramah AFP di ibu kota ini, jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi kerajaan, berjumlah 475 orang.

Dalam satu kemas kini angka dikeluarkan kerajaan semalam, Myanmar berkata, 6,600 rumah etnik Rohingya dan 201 milik bukan Islam dibakar sejak 25 Ogos lalu.

Mereka menambah, kira-kira 30 orang awam terbunuh, tujuh etnik Rohingya, tujuh beragama Hindu dan 16 Buddha dalam pertempuran di Rakhine.

Tentera Myanmar sebelum itu berkata, ia membunuh sekitar 430 pemberontak Rohingya. Pihak berkuasa berkata, 15 anggotanya maut sejak serangan. -AFP

971 dibaca
Berita Harian X