Khamis, 7 September 2017 | 1:11am
KEMUSNAHAN yang berlaku akibat Taufan Irma di pulau Caribbean - Foto REUTERS

Taufan Irma badai Caribbean

MARIGOT: Taufan Irma membadai pulau Caribbean semalam selepas mendarat di Barbuda, mengumpul kekuatan angin dan menyebabkan banjir besar di kawasan rendah.

Sebagai ribut Kategori Lima jarang berlaku yang melanda seluruh Caribbean, ia membawa angin sehingga 294 kilometer sejam, kata pakar cuaca.

Selepas membadai Barbuda, sebahagian pulau kembar Antigua dan Barbuda, taufan itu membadai Saint Barthelemy, juga dikenali sebagai St Barts, dan Saint Martin, pulau yang dibahagikan antara Perancis dan Belanda.

Pegawai kaji cuaca Belanda berkata, Irma adalah taufan bersejarah dengan kepadatan tidak pernah berlaku di Atlantik, dengan menteri Perancis dipetik berkata ia sudah pun menyebabkan kerosakan teruk di kedua-dua wilayah.

Laut membadai ganas kawasan pantai, dengan pejabat kaji cuaca mencatatkan kelajuan angin 244 kilometer sejam sebelum peralatan pemantauan dimusnahkan taufan itu.

Dengan pulau itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap maksimum menjelang kedatangan ribut paling kuat pernah direkodkan di Atlantik, Perancis meningkatkan amaran berhubung nasib kira-kira 7,000 penduduk yang enggan berpindah.

Menteri Perancis bagi wilayah luar berkata, penduduk memandang rendah kekuatan ribut berkenaan. - AFP

1720 dibaca
Berita Harian X