Isnin, 17 Julai 2017 | 11:41am

Kebakaran hutan: 37,000 penduduk tinggalkan rumah


BERPULUH ribu penduduk di barat Kanada meninggalkan kediaman susulan kebakaran hutan lebih seminggu, yang memusnahkan wilayah British Colombia. - Foto AFP

MONTREAL: Berpuluh ribu penduduk di barat Kanada meninggalkan kediaman susulan kebakaran hutan lebih seminggu, yang memusnahkan wilayah British Colombia.

Tragedi itu diburukkan lagi dengan angin kuat yang melanda wilayah berkenaan.

Penyiar CBC melaporkan, kebakaran semakin teruk dan pihak berkuasa mengarahkan pemindahan 24,000 penduduk di wilayah itu, termasuk 11,000 penduduk di Williams Lake.

Setakat ini, kira-kira 60 peratus penduduk sudah meninggalkan kediaman masing-masing.

Menteri Pengangkutan Wilayah, Todd Stone, pada sidang media semalam berkata, setakat ini, kira-kira 37,000 penduduk dipaksa meninggalkan kediaman sejak kebakaran hutan besar berlaku akibat cuaca kering.

Kerajaan negeri juga mengisytiharkan darurat pada 7 Julai lalu.

Pihak berkuasa berkata, setakat ini, kira-kira 162 kebakaran hutan berlaku, termasuk 15 yang mengancam kediaman penduduk.

Kira-kira 3,000 anggota bomba, termasuk 415 anggota daripada wilayah berdekatan berusaha memadamkan api. - AFP

338 dibaca
Berita Harian X