Khamis, 11 Oktober 2018 | 4:14pm
Presiden Tecep Tayyip Erdogan ketika berucap semasa perasmian makam yang telah diubah suai dari Turki dervish Gul Baba, yang dibina pada abad ke-16, di pusat Budapest pada hari kedua lawatan rasmi dua hari beliau ke Hungary. - Foto EPA

Erdogan bertegas siasat kes kehilangan Jamal Khashoggi

ISTANBUL: Presiden Tecep Tayyip Erdogan, berkata Turki tidak akan berdiam diri dalam insiden kehilangan wartawan warga Arab Saudi, Jamal Khashoggi.

Malah, akhbar Hurriyet yang memetik kenyataan Erdogan melaporkan, Turki akan menjalankan siasatan dari semua aspek membabitkan kes berkenaan.

Jamal dilaporkan memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu, untuk mendapatkan dokumen bagi membolehkan beliau berkahwin dengan tunangnya.

Namun, pegawai Arab Saudi berkata, Jamal meninggalkan bangunan itu tidak lama kemudian, tetapi pihak berkuasa Turki dan tunangnya, yang menunggu wartawan itu di hadapan bangunan konsulat, menafikan dakwaan berkenaan.

Erdogan ketika memberitahu media ketika dalam perjalanan pulang dari Hungary turut menyatakan kebimbangannya mengenai berita kehilangan Jamal.

“Kami sedang menyiasat kes ini dari segala aspek. Tidak wajar untuk kami berdiam diri dalam hal ini, kerana ia bukan sesuatu kejadian yang biasa,” kata Erdogan.

Pada masa sama, Erdogan turut mempertikaikan kenyataan pihak berkuasa Arab Saudi bahawa konsulat tidak mempunyai rakaman imej Jamal ketika meninggalkan konsulat.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, kamera keselamatan hanya menyediakan rakaman secara langsung dan tidak merekodkan sebarang imej.

“Adalah sesuatu yang mustahil tiada sistem kamera beroperasi di konsulat Arab Saudi, iaitu lokasi kejadian itu berlaku,” kata Erdogan yang dipetik akhbar Hurriyet. - Reuters

854 dibaca
Berita Harian X