Rabu, 10 Oktober 2018 | 4:27pm
Penduduk meletakkan kalungan bunga dan lilin bagi memperingati kematian wartawan Bulgaria, Viktoria Marinova di Ruse, Bulgaria. - Foto REUTERS

Suspek bunuh wartawan Bulgaria diberkas di Jerman

SOFIA: Polis Jerman berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes merogol dan pembunuhan kejam wartawan Bulgaria, Viktoria Marinova.

“Lelaki berkenaan ditahan semalam, atas permintaan pihak berkuasa Bulgaria.

“Kami mempunyai bukti yang cukup untuk mengaitkan individu ini dengan kejadian jenayah itu,” kata Menteri Dalam Negeri Bulgaria, Mladen Marinov pada sidang media, di sini.

Ketua Pendakwa Raya Bulgaria, Sotir Tsatsarov, berkata ketika ini, pihaknya tidak menemui sebarang bukti kaitan kes pembunuhan itu dengan tugas Marinova sebagai seorang wartawan.

“Suspek dikenali sebagai Severin Kasimirovm dan lahir pada 1997 dan beliau pernah disiasat kerana terbabit dalam kes rogol serta pembunuhan.

“Setakat ini, kami percaya kes pembunuhan ini tiada kaitan dengan tugas Marinova sebagai wartawan, tetapi kami akan terus meneliti segala kemungkinan.

“Bukti yang diperoleh menunjukkan ia adalah serangan secara tiba-tiba hingga ke penderaan seksual terhadap mangsa,” katanya.

Mayat Marinova, 30, yang mengendalikan program bual bicara ‘Detector’ di stesen televisyen TVN, ditemui di tebing sungai di Ruse pada Sabtu lalu.

Menurut pihak berkuasa, siasatan awal mendapati beliau mati akibat dipukul kuat di kepala dan lemas, selain dirogol. - AFP

241 dibaca
Berita Harian X