Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:54am
- Foto hiasan

Krisis penyakit mental lonjak kos ekonomi global AS$16 trilion

LONDON : Peningkatan penyakit mental di setiap negara seluruh dunia boleh menjadikan kos ekonomi global melonjak kepada AS$16 trilion (RM66.5 trilion) antara 2010 dan 2030 jika kegagalan mengatasinya tidak diberi perhatian.

Laporan Suruhanjaya Lancet membabitkan 28 pakar psikiatri, kesihatan awam, sains neuro, pesakit mental dan kumpulan sokongan di peringkat global mendapati, krisis yang semakin menular ini boleh memberikan kesan buruk berpanjangan kepada orang ramai, komuniti dan ekonomi seluruh dunia.

dalam hal ini, beberapa kos boleh dilihat secara langsung khususnya dari aspek perubatan, penjagaan kesihatan dan terapi namun apa yang membimbangkan ialah sebahagian besar kos disumbangkan oleh faktor tersembunyi seperti penurunan produktiviti, peningkatan perbelanjaan kebajikan sosial, pendidikan dan perundangan, kata ketua pengarang laporan, Vikram Patel.

Laporan terbabit bagaimanapun tidak memberikan pecahan impak ekonomi sebanyak AS$16 trilion (RM66.5 trilion) yang diramalkan menjelang 2030.

“Situasi ini amat tidak memberangsangkan,” kata Patel, seorang profesor di Sekolah Perubatan Harvard, Amerika Syarikat kepada wartawan.

Katanya, penyakit mental telah meningkat secara dramatik di seluruh dunia sejak 25 tahun lalu, sebahagian besar disumbangkan oleh faktor peningkatan masyarakat berusia dan golongan dewasa tetapi malangnya tiada negara membuat pelaburan yang benar-benar mencukupi untuk menangani masalah berkenaan.

“Kesihatan mental adalah satu aspek kesihatan yang sangat jarang diberi perhatian penuh oleh semua manusia,” kata Patel.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 300 juta penduduk seluruh dunia mengalami masalah kemurungan atau depresi dan 50 juta lagi mengalami dementia.

Pesakit skizofrenia dianggarkan berjumlah 23 juta manakala gangguan bipolar sekitar 60 juta penduduk. - Reuters

151 dibaca
Berita Harian X