Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:36am
POSTER Jamal Khashoggi ketika demonstrasi di hadapan konsulat Arab Saudi di Istanbul. - Foto AFP

Turki akan geledah konsulat, siasat kehilangan Khashoggi

ANKARA: Turki berkata semalam, ia akan menggeledah konsulat Arab Saudi di Istanbul di mana wartawan negara itu, Jamal Khashoggi hilang minggu lalu dan sekutu rapat Britain menggesa Riyadh menyediakan ‘jawapan segera’ berhubung kehilangannya.

Khashoggi kali terakhir dilihat memasuki konsulat itu di Istanbul seminggu lalu untuk mendapatkan dokumen berkaitan perkahwinannya.

Tunangnya, yang menunggu di luar berkata, Khashoggi tidak keluar dan sumber Turki berkata, mereka percaya, pengkritik terkenal Arab Saudi itu, dibunuh dalam misi berkenaan.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kelmarin meminta Arab Saudi membuktikan dakwaan bahawa Khashoggi sudah meninggalkan konsulat berkenaan.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, ia tidak tahu apa yang berlaku kepada Khashoggi dan jika beliau masih hidup atau tidak.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku kepadanya. Kami tiada sebarang maklumat berkaitan. Kami tidak mahu menghakimi apa yang telah berlaku,” kata jurucakap Heather Nauert kepada media.

Arab Saudi menolak tuduhan tidak berasas bahawa ia membunuh atau menculik Khashoggi dan semalam, agensi Anadolu Turki berkata, Riyadh menjemput pakar Turki dan pegawai lain untuk melawat konsulat berkenaan.

Britain menggesa kerajaan Arab Saudi menjelaskan apa yang berlaku.

“Baharu bertemu Duta Arab Saudi untuk mendapatkan jawapan segera berhubung Jamal Khashoggi. Keganasan terhadap wartawan di seluruh dunia meningkat dan ia menjadi ancaman utama kebebasan bersuara.

“Jika laporan media terbukti benar, kami akan meneliti insiden itu secara serius, persahabatan bergantung kepada nilai dikongsi bersama,” tulis Setiausaha Luar United Kingdom, Jeremy Hunt di Twitter.

Jurucakap Menteri Luar Turki, Hami Aksoy berkata, siasatan diteruskan secara intensif. Konvensyen Vienna berkaitan hubungan diplomatik membenarkan konsulat digeledah pihak berkuasa negara penganjur dengan kebenaran ketua misi, katanya.

“Bangunan konsulat akan digeledah dalam rangka kerja siasatan,” kata Aksoy dalam kenyataan bertulis. Tiada ulasan berhubung laporan itu daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

Khashoggi meninggalkan Arab Saudi tahun lalu, bimbangkan hukuman berhubung kritikannya terhadap dasar Arab Saudi berkaitan perang Yaman dan tindakan keras terhadap pembelot, serta sejak itu menulis kolum khas untuk akhbar Washington Post. -Reuters

1200 dibaca
Berita Harian X