Jumaat, 14 September 2018 | 10:15pm
Kakitangan penjara di HMP Wandsworth mengadakan mogok hari ini.

Kakitangan penjara England, Wales lancar mogok

LONDON: Kira-kira 5,000 kakitangan penjara di seluruh England dan Wales mengadakan mogok hari ini, berikutan peningkatan kes keganasan yang menyaksikan 27 pekerja diserang setiap hari.

Langkah penjimatan yang dilaksanakan kerajaan menyebabkan keadaan di dalam penjara semakin bertambah buruk, malah jumlah kakitangan turut berkurangan sebanyak 20 peratus.

Empat laporan yang diterbitkan sebelum ini membabitkan isu keselamatan di 127 perkhidmatan pemulihan mendapati wujud potensi berlakunya masalah dan mendedahkan bahawa banduan mampu mengambil alih kawalan penjara.

Sementara itu, kesatuan sekerja POA, yang mewakili hampir 90 peratus daripada 30,000 kakitangan penjara di England dan Wales, meminta ahlinya supaya mengadakan bantahan di luar penjara, sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan.

“Terdapat kira-kira 31,025 kes serangan di penjara dilaporkan sejak 2010, iaitu peningkatan sebanyak 108 peratus.

“Serangan ke atas kakitangan pula adalah sebanyak 27.4 kes, iaitu peningkatan sebanyak 197 peratus. Seramai 27 kakitangan penjara akan diserang hari ini,” kata ahli Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan POA, Dave Cook kepada AFP. - AFP

403 dibaca
Berita Harian X