Selasa, 17 April 2018 | 6:53am
PRESIDEN Emmanuel Macron. - Foto Reuters

Perancis umum dana RM240j untuk Syria

PARIS: Presiden Emmanuel Macron, semalam mengumumkan sumbangan 50 juta euro (RM240 juta) kepada bantuan kemanusiaan Syria susulan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota Perancis.

"Petang ini saya menghimpunkan NGO yang berkhidmat di Syria.

"Berhadapan dengan keadaan kemanusiaan, Perancis membentuk program kecemasan 50 juta euro," katanya menerusi laman Twitter rasmi.

Dana itu akan diperuntukkan kepada NGO dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertugas di Syria, termasuk pejabat PBB bagi hal ehwal kemanusiaan, kata pejabat Macron.

Kira-kira 24 NGO terbabit dalam pertemuan dengan Macron di istana presiden, termasuk

Action Aid, Handicap International, Palang Merah dan Care.

Menurut anggaran PBB, kira-kira 13 juta penduduk termasuk enam juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan di Syria, yang musnah akibat perang selama tujuh tahun.

Khamis lalu, PBB berkata ia berharap mendapat bantuan kepada sekurang-kurangnya 100,000 rakyat Syria yang terdesak memerlukan bantuan selepas pertempuran beberapa bulan mengakhiri kepungan di wilayah Timur Ghouta yang dikuasai puak penentang. - Reuters

390 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »