Selasa, 17 April 2018 | 12:08am

Perancis cipta aplikasi saingi Whatsapp elak intipan

PARIS: Kerajaan Perancis sedang mencipta perkhidmatan mesej tersulit sendiri untuk menangani kebimbangan bahawa entiti asing mungkin mengintip perbualan sulit antara pegawai kanannya, kata Kementerian Digital negara itu semalam.

Tiada satu pun aplikasi mesej tersulit utama dunia termasuk Whatsapp dan Telegram yang menjadi kegemaran Presiden Emmanuel Macron berpangkalan di Perancis, ia menimbulkan risiko kebocoran di pangkalan data di luar negara itu.

Difahamkan, kira-kira 20 kakitangan kerajaan termasuk pegawai kanan menguji aplikasi baharu itu yang direka pembangun aplikasi dibayar kerajaan, kata jurucakap kementerian terbabit.

Penggunaan aplikasi itu akan diwajibkan terhadap seluruh operasi kerajaan Perancis, menjelang musim panas ini.

"Kita perlu mencari kaedah mempunyai perkhidmatan mesej tersulit yang tidak dikendalikan Amerika Syarikat (AS) atau Russia. Wujud potensi kebocoran data seperti mana yang berlaku di Facebook, justeru kita patut menerajui usaha ini," kata jurucakap itu.

Rangkaian media sosial AS itu membeli Whatsapp pada 2014, ia dikritik hebat sejak mengesahkan bahawa maklumat jutaan pengguna terlepas kepada kumpulan perunding politik Cambridge Analytica. - Reuters

696 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »