Isnin, 16 April 2018 | 1:03am
PRESIDEN Jerman, Frank-Walter Steinmeier. - Foto fail AFP

'Pengasingan' Russia-Barat membimbangkan: Presiden Jerman

FRANKFURT: Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan 'pengasingan' antara Russia dan Barat sambil menekankan keperluan dialog, ketika ketegangan pasca Perang Dingin memuncak.

Bercakap kepada akhbar Bild am Sonntang, Steinmeier berkata, insiden bekas perisik Russia diracun di London pada bulan lalu adalah 'insiden serius' dan Britain bersama sekutunya menyalahkan serangan itu terhadap Russia.

"Kita patut sekurang-kurangnya bimbang dengan peningkatan pengasingan antara Russia dan Barat kerana kesannya sudah jauh melampaui kes ini," kata bekas Menteri Luar itu.

Moscow tegas menafikan pembabitan serangan racun agen saraf terhadap bekas perisik Sergei Skripal dan anak perempuannya yang mencetuskan gelombang pengusiran diplomatik antara Russia dan negara Barat.

Pertikaian membabitkan campur tangan Barat di Syria turut memburukkan lagi ketegangan sejak beberapa hari lalu. Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Britain tidak menghiraukan amaran Russia dengan menjalankan serangan udara untuk menghukum sekutu rapat Moscow, rejim Presiden Bashar al-Assad atas tuduhan serangan kimia yang membawa maut di Douma.

Russia semalam gagal mendapatkan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk keganasan terhadap Syria dan ia mencerminkan pengasingan Moscow di peringkat antarabangsa.

Steinmeier berkata, dialog secara langsung dengan Russia tidak boleh ditinggalkan walaupun tindakan untuk menunjukkan kepada Russia bahawa dasarnya mempunyai kesan seperti sekatan susulan pendudukan ke atas Crimea dan konflik di Ukraine selain memberi peringatan terhadap memburukkan keseluruhan sesebuah negara.

"Selain Presiden Vladimir Putin, kita tidak boleh mengisytiharkan seluruh Russia iaitu negara dan rakyatnya sebagai musuh," katanya sambil menambah banyak perkara akan terpaksa dipertaruhkan.

Mengenai Syria, Steinmeier berkata, situasi tidak akan menjadi lebih baik melainkan Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya di Russia, Putin bekerjasama secara konstruktif untuk cuba berunding penyelesaian.

"Pastinya kamu tidak boleh melakukannya tanpa negara jiran serantau, namun semuanya bermula dengan AS dan Russia. Putin dan Trump mempunyai tanggungjawab kepada dunia untuk mengambil langkah pertama," katanya. - AFP

484 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »