Ahad, 11 March 2018 | 8:30pm
THE Mill. - Foto AFP

Kesan agen saraf ditemui dalam pub, restoran

LONDON: Kesan agen saraf digunakan dalam cubaan membunuh bekas perisik Russia ditemui dalam sebuah pub dan restoran dikunjunginya, kata ketua pegawai perubatan England, Sally Davies hari ini.

Beliau berkata, sehingga 500 orang yang mengunjungi pub The Mill dan restoran Zizzi di Salisbury, barat daya England, perlu mencuci pakaian dan barangan milik mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Serangan 4 Mac lalu ke atas bekas ejen muka dua, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, dianggap polis sebagai cubaan membunuh.

Kedua-duanya ditemui terjelepok di atas bangku di Salisbury. Mereka dalam keadaan kritikal namun stabil di hospital.

"Ada beberapa kesan pencemaran oleh agen saraf di kedua-dua pub The Mill dan restoran Zizzi di Salisbury. Saya yakin ia tidak membahayakan kesihatan sesiapa yang berada dalam dua premis itu.

"Bagaimanapun, sesetengah orang bimbang pendedahan jangka panjang terhadap sebatian ini mungkin dalam tempoh beberapa minggu atau bulan, mencetuskan masalah kesihatan.

"Justeru, saya menasihatkan mereka yang berada dalam restoran atau pub terbabit jam 1.30 tengah hari Ahad lalu sehingga premis ditutup pada Isnin, perlu mencuci pakaian dan barangan ketika berada di sana," kata Davies.

Pengunjung pub dan restoran diarah mencuci pakaian dalam mesin basuh, sementara pakaian cucian kering perlu diletakkan dalam dua beg plastik berikat dan disimpan dengan selamat sambil menunggu nasihat berikutnya.

Telefon bimbit, beg tangan dan barangan elektronik perlu dikesat menggunakan pengesat sanitari, yang kemudian dibuang dalam sisa domestik.

Barangan seperti barang kemas dan cermin mata perlu dibasuh dalam air suam dan sabun sebelum dibilas dalam air sejuk.

Jabatan Kesihatan Awam England berkata, risiko kepada kesihatan awam kekal rendah dan nasihat itu sebagai langkah berjaga-jaga. -AFP

902 dibaca
Berita Harian X