Ahad, 11 March 2018 | 6:28pm
VLADIMIR Putin. - Foto Reuters

Russia berjaya uji peluru berpandu hipersonik

MOSCOW: Russia berjaya melancarkan peluru berpandu hipersonik yang disifatkan Presiden Vladimir Putin sebagai 'senjata ideal', ketika mendedahkan pelbagai senjata generasi baru awal bulan ini.

Peluru berpandu ketepatan tinggi Kinzhal dilancarkan dari jet pemintas supersonik MiG-31 yang berlepas dari pangkalan udara di Daerah Tentera Selatan di barat daya Russia, kata Kementerian Pertahanan.

"Pelancaran berjalan mengikut jadual, peluru berpandu hipersonik tepat mengena sasaran," kata kementerian.

Kementerian menyiarkan rakaman video menunjukkan dua juruterbang bersiap melakukan penerbangan dan kemudian berlari ke arah jet dengan peluru berpandu besar digantung di bawah perut pesawat.

Video kemudian menunjukkan peluru berpandu dilepaskan daripada pesawat dan meluncur merentasi langit hitam, meninggalkan kesan berapi.

Peluru berpandu Kinzhal adalah satu daripada pelbagai senjata baru yang didedahkan Putin dalam ucapannya awal bulan ini, menjelang pilihan raya presiden 18 Mac ini yang dijangka dimenanginya.

Putin berkata, peluru berpandu itu terbang 10 kali ganda kelajuan bunyi dan boleh mengatasi sistem pertahanan udara.

Peluru berpandu itu ditempatkan di Daerah Tentera Selatan sejak 1 Disember lalu. - AFP

639 dibaca
Berita Harian X