;
Rabu, 14 Februari 2018 | 12:31am
Serpihan bangkai pesawat penumpang Russia, Antonov AN-148 yang terhempas terdampar berhampiran kampung Stepanovskoy berhampiran Argunovo, daerah Ramensky, rantau Moscow, Russia Ahad lalu. - Foto EPA/EFE

Tiub pitot mungkin punca pesawat terhempas

MOSCOW: Pakar Russia yang melakukan siasatan terhadap pesawat yang terhempas di luar Moscow, Ahad lalu hingga mengorbankan 71 penumpang berkata nahas itu mungkin berpunca daripada tolok kelajuan dikenali sebagai tiub pitot yang membawa kepada kesilapan maklumat ke atas kelajuan udara pesawat berkenaan.

"Salah satu faktor kepada perkembangan situasi khusus dalam pesawat itu mungkin akibat data kelajuan penerbangan yang salah pada petunjuk juruterbang yang berkemungkinan disebabkan oleh tiub pitot ais ketika sistem pemanasan dimatikan," kata Jawatankuasa Penerbangan Antara Negeri (IAC), yang menyiasat insiden pesawat itu.

Pesawat Antonov An-148 berlepas dari lapangan terbang Domodedovo, Moscow pada Ahad lalu dan terhempas di kawasan lapang kira-kira 70 kilometer dari tenggara Moscow tidak lama selepas itu.

Semua 65 penumpang dan enam kru yang berada di dalam pesawat berkenaan dilaporkan terkorban.

IAC berkata, pihaknya sudah menyiapkan analisis rakaman dalam pesawat berkenaan dan masih perlu menganalisis kotak hitam yang merakamkan perbualan dalam kokpit pesawat itu.

Katanya, pihaknya turut melihat kemungkinan sama ada tiub pitot gagal berfungsi. AFP.

1477 dibaca
Berita Harian X