;
Selasa, 30 Januari 2018 | 11:27pm
FRANCISCO Nunez Olivera.

Lelaki tertua di Sepanyol meninggal

MADRID: Sebuah perkampungan di Sepanyol hari ini, mengisytiharkan hari berkabung bagi menghormati kematian seorang bekas petani berusia 113 tahun yang didakwa sebagai 'lelaki tertua di dunia'.

Francisco Nunez Olivera yang berusia 10 tahun ketika Perang Dunia Pertama meletus, meninggal dunia semalam di perkampungan Bienvenida di barat daya Sepanyol, kata datuk bandar kampung, Antonio Carmona pada AFP.

"Ia hari yang sejuk dan hiba," katanya yang memberitahu Nunez Olivera menghabiskan seluruh hidupnya di kampung itu.

Dilahirkan pada 13 Disember 1904, keluarga mendiang mendedahkan rahsia panjang umur Nunez Olivera adalah melalui diet sayuran yang ditanamnya sendiri.

Sarapannya adalah kek span yang dinikmati bersama minyak zaitun dan segelas susu. Sehingga usianya mencecah 107 tahun, Nunez Olivera tidak pernah meninggalkan amalan bersenam dengan berjalan.

Media Sepanyol kekal menobatkan Nunez Olivera sebagai lelaki tertua di dunia meskipun namanya tidak tersenarai dalam rekod Kumpulan Penyelidikan Gerontologi, yang menyimpan senarai individu panjang usia di dunia.

Kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat itu menyenaraikan Masazou Nonaka dari Jepun yang lahir pada 25 Julai 1905 sebagai lelaki paling tua di dunia.

"Kami dalam proses menghantar permohonan untuk mendaftarkan Nunez Olivera dalam Guinness Book of World Records. Ia pasti memberi makna yang besar buat keluarga dan penduduk kampung ini," kata Carmona.

Sepanyol dikatakan antara negara yang mempunyai jangka hayat tertinggi di dunia dan dalam kalangan doktor percaya diet Mediterranean diamalkan memberikan kesihatan tubuh. - AFP

477 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »