Ahad, 14 Januari 2018 | 12:34pm

8 maut, kebakaran pusat riadah di Portugal

LISBON: Sekurang-kurangnya lapan maut, manakala berpuluh lagi cedera dalam kebakaran dan rempuhan di rumah persatuan riadah tempatan di bandar Vila Nova Da Rinaha utara Portugal, malam semalam.

Datuk Bandar Jose Antonio de Jesus dalam ucapan televisyen berkata, lebih 60 orang mengambil bahagian atau menyaksikan perlawanan kad terup di pusat tumpuan popular dua tingkat di bandar sejauh 260 kilometer di timur laut ibu kota ini apabila kebakaran berlaku.

"Berpuluh orang cedera, sesetengahnya ringan dan yang lain parah serta masih dirawat," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan punca kebakaran, namun media tempatan memetik anggota bomba di lapangan berkata, letupan dandang pemanas mungkin punca kebakaran.

Tahun lalu, Portugal mengalami kebakaran hutan terbesar yang mengorbankan sejumlah 100 orang. - Reuters

169 dibaca
Berita Harian X