Selasa, 9 Januari 2018 | 10:15am
- Gambar hiasan

Wanita kerja malam, risiko hidap kanser

CHENGDU: Wanita yang kerap bekerja syif malam di Eropah dan Amerika Utara berdepan 19 peratus risiko lebih tinggi menghidap kanser berbanding mereka yang bekerja siang, lapor satu kajian semalam.

Risiko itu bagaimanapun, tidak begitu ketara dalam kalangan pekerja wanita di Australia dan Asia, kata penganalisis dalam jurnal Cancer Epidemiology, Biomarkers and Prevention.

"Kajian kami menunjukkan bekerja syif malam berperanan sebagai faktor risiko kanser biasa dalam kalangan wanita," kata penulis kajian juga pakar Onkologi di Pusat Perubatan China Barat di Universiti Sichuan di Chengdu, China, Xuelei Ma.

"Kami terkejut melihat kaitan antara kerja syif malam dan risiko kanser payudara hanya dalam kalangan wanita di Amerika Utara dan Eropah," katanya.

"Mungkin wanita di lokasi ini mempunyai tahap hormon seks yang lebih tinggi, yang dikaitkan secara positif dengan kanser berkaitan hormon seperti kanser payudara."

Penilaian itu menggabungkan 61 kajian mengenai topik sama yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Ia membabitkan 3.9 juta peserta dari Amerika Utara, Eropah, Australia, Asia dan lebih daripada 110,000 kanser.

Salah satu kelemahan kajian ini adalah definisi berbeza mengenai kerja syif malam jangka panjang.

Beberapa kertas kerja menggambarkannya sebagai 'bekerja pada waktu malam' dan ada juga yang menjelaskannya sebagai 'bekerja sekurang-kurangnya tiga malam sebulan.' - AFP

506 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »