Ahad, 8 Oktober 2017 | 8:55pm

Pemandu langgar 11 pejalan kaki dibebaskan

LONDON: Seorang pemandu yang ditahan selepas sebuah kenderaan merempuh pejalan kaki di sini dan mencederakan 11 orang, dibebaskan hari ini selepas keterangannya diambil.

Menurut polis, lelaki terbabit ditahan di lokasi kejadian yang terletak berhampiran Muzium Sejarah Alam Semulajadi, semalam, atas dakwaan memandu secara berbahaya.

Dia menerima rawatan di hospital sebelum dibawa ke balai polis di utara London untuk disoal siasat.

"Dia sudah dibebaskan pagi ini tetapi siasatan kes berkenaan masih dijalankan," kata polis.

Individu yang dibebaskan selepas disoal siasat tidak diwajibkan untuk hadir di balai polis tetapi boleh dihubungi dan dalam beberapa kes, ditahan semula selepas siasatan lanjut dilakukan.

Dalam insiden berkenaan, 11 orang cedera apabila dilanggar sebuah kereta yang terbabas di bahu jalan padat pelancong itu, namun polis menolak kemungkinan ia serangan pengganas.

375 dibaca
Berita Harian X