Khamis, 21 September 2017 | 7:25am
EMMANUEL Macron.- Foto AFP

Krisis Rohingya satu genosid

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyifatkan serangan ke atas minoriti Rohingya di Myanmar adalah satu genosid.

Dalam temu bual dengan saluran televisyen Perancis, TMC, Macron berkata, negaranya akan bekerjasama dengan anggota lain Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengecam 'pembunuhan beramai-ramai' itu.

Penggunaan perkataan genosid oleh Macron menandakan serangan lisan paling tegasnya setakat ini terhadap tindakan tentera Myanmar ke atas Rohingya.

Lebih 420,000 anggota etnik minoriti Islam itu melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh.

"Kita perlu mengutuk pembersihan etnik yang sedang berlaku dan bertindak meminta keganasan ditamatkan, meminta akses kemanusiaan secara progresif boleh dipertingkat di bawah seliaan PBB.

"Apabila PBB mengeluarkan kecaman, ada akibatnya yang boleh menjurus kepada satu rangka kerja untuk campur tangan di bawah badan berkenaan," kata Macron.

Ketua hak asasi manusia PBB menggambarkan serangan sistematik ke atas minoriti Rohingya oleh pasukan keselamatan sebagai satu 'contoh jelas pembersihan etnik.'

Terdahulu, Malaysia dan AS mendesak Myanmar menghentikan segera keganasan terhadap Rohingya serta membenarkan bantuan sampai kepada mangsa.

Kenyataan bersama itu dibuat dalam pertemuan antara Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Washington DC, minggu lalu.

Trump dan Najib mahu krisis kemanusiaan menyayat hati, yang menjadikan kaum Rohingya sebagai sasaran kekejaman dihentikan segera.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan kedua-duanya, mereka sependapat perlu ada kerjasama kukuh membabitkan masyarakat antarabangsa bagi menangani keganasan terhadap ribuan mangsa, termasuk yang melarikan diri ke Bangladesh. - AFP

2405 dibaca
Berita Harian X