Isnin, 11 September 2017 | 2:04am
PEGAWAI forensik menyiasat tempat kejadian anggota polis yang menembak mati isteri dan dua anaknya di Compiègne, Perancis.- Foto AFP

Polis tembak mati isteri, dua anak

COMPIÈGNE, Perancis: Seorang anggota polis menembak mati isteri dan dua anaknya, berusia tiga dan lima tahun, di sebuah stesen kereta api sebelum membunuh diri.

Perbalahan keluarga menyebabkan polis mengunjungi rumah pasangan itu awal semalam, apabila wanita berkenaan memberitahu beliau mahu meninggalkan suaminya.

Lelaki terbabit 'cukup tenang' dan tidak membantah tindakan jiran yang membawa isterinya ke stesen kereta api di Noyon di utara Perancis, yang tidak jauh dari rumah mereka, kata pendakwa Virginie Girard.

Wanita itu meninggalkan rumah dengan tiga daripada lima anak mereka manakala dua lagi ditinggalkan dengan jiran.

Namun ketika wanita berkenaan dan anaknya menunggu kereta api, lelaki itu muncul tiba-tiba dan melepaskan tembakan.

Isterinya dan dua anak mereka maut di tempat kejadian itu. Seorang lagi berusia lima tahun yang juga pasangan kembar kepada mangsa yang terbunuh, tidak cedera.

"Penyerang ialah pegawai yang ditugaskan di ibu pejabat polis di Paris yang tidak dapat menerima niat isteri untuk meninggalkannya," kata Girard. - AFP

3396 dibaca
Berita Harian X