Khamis, 10 Ogos 2017 | 8:49pm

Belanda, Belgium lancar serbuan susulan telur dicemari racun

BRUSSELS: Penyiasat di Belanda dan Belgium melancarkan serbuan serentak hari ini dalam siasatan penemuan racun serangga fipronil dalam telur dari Eropah.

Tindakan bersama itu dilakukan sehari selepas Belgium menuduh Belanda menyedari mengenai masalah fipronil dalam telur sejak November 2016, tetapi gagal memaklumkan kepada mereka sehingga bulan lalu.

"Beberapa serbuan dilakukan di Belanda, serentak dengan Belgium," kata jurucakap perkhidmatan pendakwaan awam Belanda, Marieke van der Molen, tetapi enggan memberi butiran lanjut.

Jurucakap pendakwa di bandar raya Antwerp di Belgium, dalam kenyataan berkata:

"Berkaitan dengan kes fipronil, beberapa serbuan dilakukan."

Awal bulan ini, pendakwa Belanda dan Belgium membuka siasatan penipuan mengenai bagaimana fipronil, yang membahayakan kesihatan manusia, memasuki rangkaian makanan.

Skandal merebak ke seluruh lapan negara Eropah setakat ini dengan pihak berkuasa mengarahkan pemusnahan jutaan telur dan pasar raya di beberapa negara mengeluarkan telur dari rak.

Sementara itu, kira-kira 700,000 telur yang terbabit dalam skandal racun di Belanda diedarkan di Britain, kata pihak berkuasa hari ini.

"Kemungkinan besar bilangan telur yang memasuki Britain hampir 700,000 berbanding 21,000 yang dipercayai diimport sebelum ini," kata Agensi Piawaian Makanan. - AFP

318 dibaca
Berita Harian X