Khamis, 10 Ogos 2017 | 7:26pm

55 pendatang Afrika dikhuatiri lemas

GENEVA: Lima puluh lima dikhuatiri lemas selepas 180 pendatang Habsyah dan Somalia dipaksa mengharungi laut bergelora di luar Yaman oleh penyeludup awal hari ini, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia adalah kejadian kedua seumpama itu di wilayah Shabwa di selatan Yaman, yang menyaksikan 50 pendatang remaja Afrika 'sengaja dibiarkan lemas' semalam oleh penyeludup yang memaksa 120 penumpang meninggalkan botnya, kata Pertubuhan Pendatang Antarabangsa (IOM).

"Kami jumpa lima mayat dan mengesahkan lima terbunuh. Lima puluh lagi masih hilang, jadi 55 dianggap meninggal dunia.

"Ia mungkin permulaan corak terbaru, penyeludup tahu keadaan berbahaya bagi mereka dan mereka boleh ditembak, jadi mereka turunkan pendatang berhampiran pantai," kata jurucakap IOM, Olivia Headon. - Reuters

102 dibaca
Berita Harian X