Khamis, 10 Ogos 2017 | 12:14am

Polis Lithuania rampas 600kg kokain

VILNIUS (LITHUANIA): Pihak berkuasa Lithuania berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 600 kilogram kokain dari Ecuador dalam serbuan terbesar di negara itu.

Pegawai kastam di pelabuhan Klaipeda di Baltic berkata, dadah berkenaan dijumpai tersembunyi dalam kiriman berisi acuan membuat penutup plastik palsu yang hendak dihantar ke sebuah syarikat milik rakyat Russia di Lithuania.

Tarikh serbuan bagaimanapun tidak dimaklumkan.

Nilai jualan dadah yang dirampas itu dianggarkan 49 juta euro (RM246 juta).

Sumber berkata, kiriman terbabit dihantar di dalam bekas dari Ecuador melalui Colombia dan Pelabuhan Hamburg di Jerman.

Ia mengandungi 576 paket kokain seberat sekilogram setiap satu. - AFP

Berita Harian X