Selasa, 8 Ogos 2017 | 10:26pm
ANDRIAN Pogmore.

Bekas polis dipenjara rakam video lucah dari udara

LONDON: Seorang bekas pegawai polis Britain dijatuhi hukuman penjara setahun hari ini, selepas didapati bersalah menggunakan helikopter milik pasukan polis untuk merakam video lucah orang awam.

Andrian Pogmore didakwa merakam aktiviti termasuk pasangan melakukan hubungan seks di beranda, seorang wanita berjemur sambil berbogel di laman, dua individu berbogel di luar karavan dan pasangan bogel sedang berbaring.

Hakim Peter Kelson di Mahkamah Jenayah Sheffield, utara England berkata, Pogmore menganggap dirinya kebal di sisi undang-undang apabila melakukan perbuatan itu.

Pogmore mengaku salah atas empat pertuduhan salah laku sebagai penjawat awam dan dipecat Polis Yorkshire Selatan.

Mahkamah juga dimaklumkan, Pogmore, 51, digelar 'pasukan sumbang' oleh rakan sejawatannya dan digambarkan seorang 'pemerhati udara yang taksub seks'.

"Anda menggunakan pesawat bernilai 2.2 juta euro (RM11.12 juta) yang menelan belanja AS$1,000 (RM4,278) sejam bagi memenuhi keinginan seks peribadi anda sedangkan ia sepatutnya digunakan untuk mengesan jenayah.

"Anda melakukan jenayah sedangkan anda sepatutnya mengesan dan membanteras jenayah," kata Kelson ketika menjatuhkan hukuman. - AFP

2087 dibaca
Berita Harian X