Isnin, 17 Julai 2017 | 7:24pm

Pokok jadi simbol mengingati mangsa MH17

VIJFHUIZEN: Tiga tahun selepas Penerbangan MH17 ditembak jatuh peluru berpandu di ruang udara Ukraine, lebih 2,000 saudara mara mangsa berkumpul hari ini untuk mendedahkan 'tanda peringatan bernyawa' kepada orang tersayang.

Keseluruhan 298 pokok ditanam dalam bentuk reben hijau, satu untuk setiap mangsa yang terkorban dalam pesawat MAS dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Raja Belanda, Willem-Alexander dan Ratu Maxima, menyertai pegawai kerajaan dan antarabangsa pada majlis itu untuk tujukan peringatan di taman di Vijfhuizen, berhampiran Lapangan Terbang Schipol di Amsterdam, lokasi penerbangan itu berlepas pada 17 Julai 2014.

Nama semua 298 penumpang dan kru yang terkorban dalam bencana berkenaan dibacakan oleh anggota keluarga masing-masing, dan 17 kanak-kanak tempatan meletakkan kalungan bunga.

Kebanyakan mangsa ialah rakyat Belanda tetapi ada 17 warga negara lain dalam pesawat itu termasuk Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

"Pokok adalah simbol 'harapan' dan 'masa depan' dalam banyak budaya.

"Kami bukan saja mahu menghormati mangsa MH17 tetapi juga mewujudkan tempat yang membolehkan semua orang memastikan memori 298 penumpang terus hidup," kata persatuan keluarga mangsa dalam kenyataan.

Dibiayai oleh sumbangan orang ramai, projek itu direka oleh artis Ronald A Westerhuis dan arkitek landskap, Robbert de Koning selepas ia dipilih daripada tiga cadangan dikemukakan saudara mara mangsa pada lewat 2015. - AFP

Berita Harian X