Isnin, 17 Julai 2017 | 7:09pm

Bunuh askar AS, tentera Jordan dipenjara seumur hidup


Maarik Al-Tawaiha (tengah) dibawa anggota polis ke dalam mahkamah berikutan perbicaraannya, bersabit kesalahan pembunuhan tiga askar pelatih Amerika Syarikat di luar pangkalan tentera tahun lalu, di ibu negara Jordan Amman. - Foto AFP

AMMAN: Mahkamah Jordan hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang anggota tentera berhubung pembunuhan tiga askar pelatih Amerika Syarikat di luar pangkalan tentera tahun lalu.

Mahkamah tentera di Amman mendapati Maarik Al-Tawaiha, 39, bersalah menembak ketiga-tiga mangsa ketika mereka menanti untuk memasuki pangkalan Raja Faisal di Al-Jafr, selatan Jordan pada 4 November lalu.

Kertas pertuduhan tidak menyatakan beliau mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan militan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman 'kerja berat seumur hidup', tempoh yang selalunya berlanjutan 20 tahun tetapi boleh dipanjangkan kepada seumur hidup, kata pegawai perundangan.

Dia turut diturunkan pangkat daripada sarjan kepada prebet dan disingkirkan daripada perkhidmatan.

Pendakwaan Jun lalu menuduh beliau 'membunuh tanpa niat dengan rela' selain 'menghina maruah dan reputasi pasukan tentera dan melanggar arahan.'

Tawaiha, yang memakai sut pada perbicaraan, ditahan sejak November lalu tetapi menafikan dakwaan itu.

- AFP

821 dibaca
Berita Harian X